PAYA BESAR, 15 Disember 2022- Seramai 10 peserta diraikan dalam Majlis Tamat Latihan Kursus Fiber Optik yang ditaja penuh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) anjuran UMP Advanced.
Hadir bersama YH. Dato’ Mohd Sharil bin Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Encik Muhammad Izzat bin Hanipah, Ketua Pegawai Eksekutif, Lebak Makmur Sdn. Bhd, Encik Ahmad Shukri bin Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Technical Skills Academi (MTSA) dan Prof. Madya Ts. Dr. Hamzah bin Ahmad, yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced.
Menurut YH. Dato’ Mohd Sharil bin Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, beliau menggalakkan agar program kolabrasi strategik ini sentiasa diwujudkan untuk memangkin ekonomi dan membantu lebih ramai golongan anak asnaf.
“Kami sangat berbesar hati sekiranya terdapat jaringan usahasama yang berterusan pada masa akan datang bagi membangunkan sosioekonomi anak-anak asnaf sekitar negeri Pahang.
Menurut YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif (MUIP), beliau turut menzahirkan rasa syukur kepada UMP Advanced kerana sudi membantu dalam menawarkan kursus serta penempatan pekerjaaan kepada 10 orang peserta Kursus Fiber Optik yang terdiri daripada anak-anak asnaf negeri Pahang.
“Saya berharap program ini dapat diberikan peluang dan diteruskan lagi pada masa akan datang kepada golongan anak- anak asnaf negeri Pahang dalam meningkatkan ekonomi keluarga mereka dan MUIP sentiasa menyokong dan sedia menyediakan dana untuk program sebegini”, ujarnya.
Mohd Amin Muslim bin Mohd Aliyas, salah seorang peserta yang telah berjaya memperoleh pekerjaan di bawah syarikat Lebak Makmur Sdn. Bhd dengan memanjatkan rasa syukur atas peluang yang diperolehinya.
“Bermula 1 Disember 2022, kami telah memulakan pekerjaan dalam bidang fiber optik di sekitar daerah Temerloh dan Bentong Pahang bersama syarikat Lebak Makmur yang telah membantu kami secara terus dengan memberikan kami penginapan yang selesa bermula hari lapor diri sehinggalah hari ini,” ujarnya.
Program ini terdiri daripada dua fasa iaitu fasa latihan dan fasa penempatan pekerjaan. Fasa latihan dikelola oleh Malaysian Technical Skills Academy (MTSA) iaitu rakan kerjasama UMP Advanced bermula 31 Oktober 2022 sehingga 12 November 2022. Peserta yang telah berjaya tamat latihan diberikan penempatan pekerjaan oleh syarikat Lebak Makmur Sdn. Bhd.